
ISUZU Malaysia Sdn Bhd (IMSB), melalui rakan pengedarnya di Sarawak iaitu KM Mobil Sdn Bhd, baru-baru ini telah menyerahkan beberapa unit terakhir trak penggerak utama GIGA EXR52UU (EXR420) dengan transmisi manual kepada tiga pelanggan.
Pelanggan-pelanggan tersebut ialah Bintulu Container Services Sdn Bhd yang menerima satu unit, Perfect Drive Logistics Sdn Bhd yang menerima satu unit, dan Reliable Status Sdn Bhd dengan satu unit. Satu majlis penyerahan kenderaan yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi IMSB, Masashi Nuijima dan Pengurus Kawasan KM Mobil, Kenn Tan telah diadakan baru-baru ini di KM Mobil ISUZU Showroom di Bintulu.
Ketua Pegawai Operasi IMSB, Masashi Nuijima, berkata, “Trak penggerak utama ISUZU GIGA EXR ini direka khusus untuk pengangkutan jarak jauh, kargo dan tanker melalui kuasa enjinnya yang tinggi dan binaan yang teguh. Trak ini menawarkan prestasi dan kecekapan unggul, serta pemanduan yang lebih selamat. Siri trak GIGA kami telah memainkan peranan yang penting dalam industri pembangunan dan pembinaan negara, serta telah banyak menyumbang kepada kejayaan pelanggan dan jenama kami.”
Sementara itu, Kenn Tan daripada KM Mobil mengulas, "Bagi pihak KM Mobil, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang telah memilih kenderaan penggerak utama GIGA EXR untuk menyokong keperluan pengangkutan berat mereka yang mencabar. Kepercayaan mereka terhadap kami menyerlahkan nilai hubungan yang kukuh, dan kami komited dalam memenuhi keperluan masa hadapan mereka."
Trak-trak yang diserahkan itu adalah yang terakhir daripada siri ISUZU GIGA Prime yang telah berjaya memenuhi keperluan pasaran Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Berhubung perkara ini, Nuijima menambah, "Kepercayaan dan pemilihan yang diberikan oleh pasaran secara berterusan telah menetapkan ISUZU sebagai jenama trak terkemuka di Malaysia. Kami bertekad mengekalkan kedudukan kukuh ini dan proaktif dalam menawarkan pelbagai rangkaian kuasa baharu yang menampilkan inovasi terkini untuk membantu pelanggan kami mengoptimumkan kecekapan perniagaan mereka."
IMSB menawarkan rangkaian kenderaan komersial yang paling luas di pasaran. Ia mencatatkan angka jualan yang kukuh, melebihi 6 880 kenderaan komersial pada tahun 2025, sekali gus mengekalkan kedudukan nombor satu bagi kategori trak ringan untuk tahun ke-16 berturut-turut dan kategori trak secara keseluruhan untuk tahun ke-12.