Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 30 November 2023

Kemudahan 3S Moden Isuzu Dibuka di Kluang

Menampilkan barisan kemudahan terbaharu antara paling lengkap bagi memberikan pengalaman perniagaan moden yang segar kepada pelanggan, serta membekalkan inventori alat ganti yang komprehensif, fasiliti 3S Isuzu terkini di Kluang telah dibuka secara rasmi dan bersedia untuk melayani pelanggan terawalnya. 

Cawangan yang dikendalikan oleh Jumbo Arena Sdn Bhd itu menampilkan identiti korporat yang terkini dan dalam masa sama menyediakan keperluan lengkap bagi jualan dan aktiviti lepas jualan yang berkaitan untuk menyokong perkembangan populasi pemilik Isuzu yang semakin bertambah di kawasan sekitar Kluang.

Pembukaan Pusat 3S Isuzu Kluang itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe yang memuji pihak pengurusan Jumbo Arena di atas komitmen dan kesungguhan mereka untuk mengembangkan perniagaan Isuzu di Johor. 

“Bermula dengan hanya sebuah lot kedai empat tahun lalu, pembukaan Pusat 3S Isuzu yang menyeluruh hari ini adalah bukti kepada kerja keras serta dedikasi yang diberikan oleh pasukan Jumbo Arena dalam usaha untuk membangunkan lagi perniagaan Isuzu di Kluang,” ujar Okazoe. 

Pusat 3S Isuzu Kluang mempertingkatkan pengalaman perniagaannya dengan menawarkan barisan peranti dan perisian baharu di bawah satu bumbung. Bilik pameran yang luasnya boleh mempamerkan dua kenderaan sekaligus, dan panel maklumat digital yang mesra alam pula memberikan rujukan mudah terhadap barisan model Isuzu sedia ada, sama ada lori mahupun trak pikap. 

Pelanggan yang menunggu kenderaan mereka diservis pula boleh berehat di ruang menunggu yang turut disediakan dengan kemudahan pengecasan serta hidangan ringan. Dengan lima ruang servis tersedia, tempoh menunggu kenderaan siap juga lebih pendek. 

Bercakap bagi pihak Jumbo Arena, Pengarah Urusannya, Yeo Ann Seong berterima kasih kepada sokongan pelanggan di Johor serta kesungguhan pasukannya untuk lebih maju dalam memperkukuhkan perniagaan mereka. 

“Kami bernasib baik untuk membina rangkaian pelanggan lebih awal, yang telah menyokong kami sejak kami memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di Kluang dahulu. Hari ini, saya berbangga yang pasukan kami mampu menawarkan kepada pelanggan pengalaman Isuzu yang lebih lengkap, membantu memudahkan pergerakan mereka sama ada untuk riadah ataupun perniagaan,” ujar Yeo. 

Pusat 3S Isuzu Kluang terletak di 16, Jalan Bintang 1, 86000 dan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.