Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 16 March 2024

ISUZU LANCAR TRAK TUGAS SEDERHANA FVR EURO 5 SMOOTHER AMT BAHARU DI MALAYSIA

Isuzu Malaysia meraikan ketibaan tahun baru dengan pelancaran trak tugas sederhana Isuzu FVR Smoother (FVR34UU-SDN), pacuan 4x2, bersama standard emisi Euro 5 dan transmisi manual automatik (AMT) 6-kelajuan. Pengenalan model baharu ini memberi petunjuk terhadap pencapaian dan fokus Isuzu dalam menawarkan teknologi standard emisi yang lebih baik dan mesra alam melindungi alam sekitar, selain meningkatkan prestasi serta kecekapannya.

 

Trak tersebut juga merupakan model terkini yang menyertai rangkaian penuh trak Isuzu, terdiri daripada model tugas ringan hinggalah prime mover yang dilengkapi sistem transmisi AMT Isuzu. Sekali gus menawarkan teknologi kotak gear manual automatik ke dalam rangkaian trak tugas sederhana. 

 

Trak tugas sederhana FVR Smoother AMT merupakan sebahagian daripada rangkaian model Forward Isuzu yang sememangnya mempunyai reputasi positif dalam kalangan syarikat pengangkutan jarak jauh di Malaysia dan pasaran global lain. Ia cukup terkenal untuk pelanggan yang mahukan trak berteknologi tinggi, tahan lasak, kos operasi rendah, pengendalian luar biasa, kabin yang selesa dan luas serta selamat.

 

Selain model FVR Euro 5 Smoother AMT, Isuzu turut menawarkan trak tugas ringan terlaris siri ELF dengan standard emisi Euro 4 untuk para pelanggan mulai hari ini.

 

Ketua Pegawai Ekskutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, “Pengenalan trak Isuzu FVR Euro 5 Smoother AMT dan ELF Euro 4 membuktikan komitmen kami ke arah hala tuju strategi neutral karbon iaitu Visi Alam Sekitar Isuzu 2050, seterusnya mengekalkan posisi kami selaku peneraju dalam sektor pengangkutan. Pada masa sama mengurangkan impak terhadap alam sekitar, menyumbang kepada pembangunan logistik, selain membina masyarakat yang makmur dan mapan.

 

“Pilihan rangkaian produk Isuzu yang luas sememangnya sangat dipercayai dan dihargai oleh pelanggan kerana ia mampu memberi sumbangan besar kepada perniagaan logistik mereka. Kepercayaan ini telah membuatkan Isuzu sentiasa menerima anugerah dan dikenali sebagai jenama trak terbaik di Malaysia untuk 10 tahun berturut-turut dan jenama trak tugas ringan bagi 14 tahun berturut-turut.

 

“Ini juga terbukti bahawa Isuzu memahami apakah keperluan pelanggan dalam usaha untuk kekal kompetitif dan berdaya saing dalam mengharungi landskap industri yang sentiasa berubah.”

 

Beliau juga menyatakan bahawa trak-trak baharu ini akan memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan kerana teknologi emisi yang telah ditambah baik melepasi piawaian emisi Euro 3, justeru menyumbang kepada piawaian emisi Euro 4 yang akan mula dikuatkuasakan di Malaysia pada April tahun ini. Dengan enjin Euro 4 dan Euro 5, trak-trak tugas ringan dan sederhana Isuzu mampu mengurangkan partikel emisi dan nitrogen oksida berbanding piawaian Euro 3.

 

Kecekapan pemanduan ditingkatkan secara signifikan dengan Isuzu Smoother AMT. Transmisi ini dikawal secara automatik oleh komputer elektronik serta dibantu oleh satu sistem penukar kilasan (torque converter) hidraulik yang menggerakkan klac dan pendikit untuk dipadankan dengan putaran enjin bagi membolehkan gear ditukar. Penukaran gear yang lancar dan kuasa tork konsisten dalam persekitaran pemanduan gerak-henti memberikan tahap kecekapan yang lebih tinggi.

 

Trak FVR Smoother dikuasakan oleh enjin 6 silinder 6HK1-TCN yang mempunyai kapasiti GVW sebanyak 19 tan. Ini membolehkan pengendali trak memaksimumkan setiap beban dan mengurangkan kos pengangkutan mereka. Kapasiti gandar hadapan mencecah 7,500kg dan gandar belakang 13,000kg sememangnya menyumbang kepada keupayaan untuk mengangkut barangan yang banyak. Malah, aspek pengendalian trak ini yang dipertingkatkan melalui fungsi Smoother AMT membuatkannya ideal untuk kegunaan di antara bandar.

 

Dengan keselamatan menjadi ciri utama, trak FVR Euro 5 Smoother AMT dan ELF Siri Euro 4 dilengkapi platform Isuzu Safety Plus dengan ciri-ciri keselamatan pasif dan aktif. Untuk FVR Smoother, ia dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS), Regulator Anti-Gelincir (ASR), beg udara Sistem Kawalan Tambahan (SRS) untuk pemandu dan fungsi “Hill Start Aid” membantu menghalang trak daripada mengundur apabila kenderaan kembali ingin bergerak di laluan berbukit. Untuk Siri ELF, ia dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS), Regulator Anti-Gelincir (ASR), beg udara Sistem Kawalan Tambahan (SRS), dan Agihan Kuasa Brek Elektronik (EBD).

 

Ciri-ciri lain yang ada termasuklah amaran kemiringan kabin, lampu utama LED untuk suluhan cahaya lebih terang pada waktu malam, port USB bagi kemudahan pemandu, sistem kunci bersepadu dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan sistem pelumpuh nyata meningkatkan aspek keselamatan trak ini. Semua ciri tersebut ada ditawarkan pada trak Isuzu FVR Smoother.

 

Isuzu juga memberitahu bahawa sempena pelancaran trak-trak baharu ini, syarikat akan menganjurkan Program Isuzu Smoother Drive 2024 bermula 11 hingga 29 Mac di seluruh pengedar Isuzu di Malaysia. Ia merupakan siri jelajah trak ke seluruh negara dan tanggungjawab sosial korporat yang bertujuan menunjukkan ketahanan serta prestasi trak ini menempuh perjalanan jauh di seluruh negara, pada masa sama menghantar bantuan ke rumah-rumah kebajikan kanak-kanak, orang kurang upaya dan orang tua.